Pada entri kali ini, saya akan berkongsi laporan pertandingan kitar semula yang telah dianjurkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Selamat membaca !!
SAMBUTAN HARI KITAR SEMULA
KEBANGSAAN TAHUN 2017
KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah menganjurkan Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) Tahun 2017 di Anjung Floria, Putrajaya pada 18 November 2017. Majlis perasmian sambutan ini telah disempurnakan oleh YB Tan Sri Noh bin Haji Omar (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Majlis turut dihadiri oleh YB Datuk Wira Halimah binti Mohamed Sadique (Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Penganjuran Sambutan HKSK pada tahun tersebut adalah bertemakan memulakan amalan 3R. Sehubungan dengan itu, pelbagai aktiviti telah diadakan untuk menjayakan sambutan pada tahun ini dan menggalakkan orang ramai mengamalkan budaya 3R.
Seawal jam 7.30 pagi, YB Datuk Wira Halimah binti Mohamed Sadique (Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah menyempurnakan pelepasan HKSK Fun Walk. Menariknya penyertaan dalam acara ini ialah para peserta perlu membawa barangan kitar semula sama ada 10 unit botol plastik atau 10 unit tin aluminium atau 10 naskah surat khabar lama sebagai bayaran penyertaan dan mendapat tshirt secara percuma.
Hasil pengumpulan dan jualan barangan kitar semula berkenaan disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Rohingya: Negaraku Prihatin sebagai simbolik #PeluangKedua bahawa sisa kitar semula berkenaan bernilai dan mampu menyumbang kepada kebajikan masyarakat Rohingya.
Pameran 3R Sculpture Competition 2017 juga turut diadakan semasa sambutan. 3R Sculpture Competition merupakan pertandingan mereka cipta barangan baharu daripada barangan kitar semula yang dianjurkan sebelum sambutan ini dan menawarkan hadiah-hadiah berjumlah RM80,000.00. Hasil sculpture atau arca ini dipertontonkan kepada umum sebagai manifestasi bahawa barangan kitar semula yang sebelum ini dilihat sebagai tidak bernilai mampu menghasilkan sebuah arca yang bernilai dan memberi inspirasi kepada masyarakat dalam melihat potensi kreatif yang boleh menjadi sumber ekonomi dan nilai artistik, sehingga melahirkan usahawan dalam bidang penghasilan arca seumpanya.
Pada sambutan HKSK tahun ini, turut diakan Pameran Teknologi Pengurusan Sisa Pepejal Berteknologi Tinggi melibatkan mesin pengkomposan sisa makanan dan mesin perawatan sisa makanan menggunakan teknologi pencernaan aerobic (aerobic digestion). Ini memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami dengan lebih mendalam perawatan sisa pepejal organik yang boleh dilakukan oleh mereka. Selain itu, pameran ini memberikan pendedahan kepada pengunjung tentang teknologi perawatan sisa yang diolah menjadi tenaga (waste-to-energy) seperti yang telah dijalankan di negara-negara maju yang lain. Perawatan sisa pepejal menggunakan teknologi haba magnetik (magnetic heat) juga dipamerkan yang mana produk sampingan dari perawatan tersebut adalah abu dan enap cemar (sludge) yang dapat diguna semula dalam industri simen, tar dan bahan bakar seperti arang.
Para pengunjung juga berpeluang untuk melibatkan diri dalam Program Upcycling (mengitar naik) yang mana pengunjung didedahkan melalui bengkel membuat barangan daripada barangan kitar semula ini yang mengunakan kaedah bertukang sendiri (Do It Yourself - DIY) melibatkan tiga aktiviti iaitu membuat beg daripada kemeja-t terpakai, menanam pokok herba dalam tin minuman terpakai dan membuat batik daripada tisu. Ketiga-tiga aktiviti ini juga diharap dapat memberi inspirasi kepada masyrakat bagi menghasilkan bahan kreatif daripada kitar semula.
Bagi pengunjung cilik, aktiviti Waste Art for Kids bagi menghasilkan kapal terbang daripada botol plastik dan kertas terpakai serta membuat kolaj daripada kertas terpakai disediakan buat mereka. Kesemua aktiviti ini dilaksanakan secara percuma dengan menggunakan barangan terpakai dan kos yang minimum.
Semasa majlis perasmian, YB Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyampaikan anugerah dan hadiah bagi:
i. Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan (PERKISS) 2017;
ii. 3R Sculpture Competition 2017;
iii. Anugerah Industrial Zero Waste Best Practices 2017;
iv. Appreciation of Best Practices on Solid Waste Management 2017 for Commercial and Institutional;
v. Pertandingan Treasure Hunt; dan
vi. Pertandingan Lensa Hijau.
YB Menteri turut menyampaikan Watikah Pelantikan Rakan SWCorp dan menyempurnakan upacara penyerahan Tabung Kemanusiaan Rohingya: Negaraku Prihatin hasil sumbangan daripada PUSPANITA Cawangan KPKT, SWCorp dan Kontraktor-kontraktor Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
Sumber: Unit Komunikasi Korporat, KPKT
Semoga bermanfaat.
Comments
Post a Comment
Drop comment on my post or share idea for my next post are welcome here